Thursday, April 9, 2009

Perluasan Fungsi Masjid Abad 21




Perluasan Fungsi Masjid Abad 21

Bagi mengembalikan peranan sebenar masjid dalam membina kekuatan, perpaduan dan pembangunan Islam, beberapa langkah penting perlu diambil supaya masjid tidak tinggal sebagai tempat sembahyang semata-mata. Tidak dinafikan bahawa pada masa sekarang, sudah banyak usaha yang dijalankan oleh berbagai pihak tetapi pada masa yang sama pendekatan lain yang lebih professional dan menarik juga perlu dilaksanakan dari masa ke semasa. Mengambil kira pendekatan terbaik dari merata pelusuk dunia, para pentadbir masjid perlu sentiasa peka dengan kehendak semasa supaya program-program yang dijalankan di masjid akan menepati citarasa dan keperluan semua lapisan masyarakat setempat atau masyarakat umum.


Masjid bukan sahaja sebagai tempat yang memberi khidmat keagamaan secara khusus tetapi ia perlu dijadikan sebagai institusi pelbagai fungsi (multi functional) dan menjadikan ianya ejen pusat yang boleh membantu mewujudkan Komuniti Islam Gemilang (KIG). Pengurusan masjid perlu mempastikan empat peranan penting bagi semua aktiviti masjid:

a. Kegiatan Keagamaan
Sembahyang berjemaah, bacaan al-Quran dan aktiviti-aktiviti berkaitan hendaklah menjadi agenda penting aktiviti masjid. Kemudahan sokongan untuk keselesaan hendaklah diberi perhatian yang awla.

b. Pendidikan Agama
Dalam suasana dunia moden dan sekular, pendidikan keagamaan boleh dijadikan agenda penting penyebaran maklumat Islam di masjid-masjid. Kefahaman yang mantap, betul dan tepat adalah sangat penting bagi memandu seseorang muslim untuk menyesuaikan diri dalan kehidupan seharian. Pendidikan Islam akan menanamkan nilai dan budipekerti mulia yang boleh meyebabkan orang Islam dipandang mulia dan hebat. Program-program seperti kelas fardu ain dan kifayah, tahfiz Quran, Tafsir dan Hadith, Bahasa Arab, Tadika dan sekolah agama petang, kursus haji/umrah, ceramah dan forum dan lain-lain lagi.

c. Pembangunan Belia dan Keluarga
Keluarga adalah institusi terpenting dalam masyarakat. Ia adalah penyumbang terbesar bagi kekuatan, keharmonian dan keperihatinan masyarakat dan negara. Oleh kerana ia adalah aset penting untuk kecemerlangan generasi masa depan, merek perlu dibekalkan dengan perbagai petunjuk yang akan memandu mereka kepada masa depan yang lebih terjamin dan berkualiti. Diantara aktiviti yang boleh dijalankan bagi mencapai objektif diatas ialah:


I. Kursus pembangunan keluarga yang lebih sistematik dan berstruktur
II. Dialog tentang kesihatan, pembangunan kanak-kanak, khidmat kaunseling dan kursus motivasi
III. Penyediaan kaunselor terlatih bagi membantu keluarga bermasaalah
IV. Penubuhan kelab remaja di setiap masjid
V. Aktiviti sukan, lawatan dan khidmat masyarakat yang berterusan dengan kerjasama badan bukan kerajaan
VI. Membina budya belajar sepanjang hayat di kalangan ahli masyarakat

d. Perkhidmatan sebaran maklumat dan rujukan
Sebagai pusat komuniti Islam, masjid boleh berperanan sebagai pusat maklumat setempat yang mampu secara langsung menarik masyarakat untuk mendekatinya. Masjid boleh mempamer dan menyediakan maklumat penting tentang isu semasa yang ingin diketahui oleh masyarakat. Inisiatif seperti dibawah boleh diperkenalkan:
I. Pelantikan guru/ustaz yang berpengalaman dan memepunyai kelayakan akademik sebagai rujukan bagi membantu menyelesaikan masalah agama dan sebagainya
II. Mengadakan pameran dan aktiviti kemasyarakatan
III. Meletakkan maklumat berguna seperti akhbar, majalah, buku, pamplet dan sebagainya


Masjid Identiti Baru

Pengubahan identiti masjid dari satu keadaan kepada satu keadaan yang baru adalah merupakan di antara pendekatan yang boleh membantu masjid menjadi pemangkin kemajuan ummah. Pada masa sekarang kebanyakan masjid khususnya di luar bandar (masjid qariah) dilihat mempunyai identiti sebagai tempat sembahyang jemaah lima waktu dan sembahyang Jumaat sebagai aktiviti utama sepanjang tahun. Secara tidak langsung mereka yang menggunakan masjid hanyalah jemaah tetap masjid dan segolongan kecil ahli qariah yang mempunyai kepentingan berkala. Oleh kerana itu masjid tidak dapat dijadikan titik penggerak kepada keseluruhan masyarakat.

Bagi mengubah identiti masjid sebagai penggerak dan pemangkin perpaduan masyarakat, ia perlu mempunyai identiti yang boleh menyatukan aset-aset penting institusi kemasyarakatan seperti belia dan keluarga.

a. Identiti 1: Mesra-Belia

Masjid perlu menawarkan tempat dan program untuk belia seperti mewujudkan:
· Pusat bertauliah bagi remaja untuk mengikuti kursus-kursus-kursus tertentu
· Program dakwah belia kepada remaja-remaja yang liar-masjid
· Program galakan bagi jemaah mesra-masjid supaya mereka sentiasa dihargai dalam usaha imarah masjid yang dilakukan
· Pembentukan jawatankuasa masjid yang terdiri dari belia/remaja.
· Mewujudkan papan kenyataan yang berinformasi bagi belia

Beberapa inisiatif utama yang boleh dipertimbangkan ialah:

· Komitment latihan kepada progaram tertentu seperti kesukarelawanan dan kemasyarakatan
· Mewujudkan kerjasama dengan badan-badan pendidikan kemasyarakatan
· Program berimpak tinggi yang mempunyai sokongan kewangan dari kerajaan dan badan swasta
· Melantik Pegawai Pembangunan Masjid yang akan menyelia seluruh aktiviti pembangunan
· Mewujudkan pangkalan data belia yang menyertai aktiviti masjid
· Penyediaan kawasan khas aktiviti bagi belia termasuk peralatan belajar dan sukan


b. Identiti 2: Mesra-Keluarga

Bagi mempastikan masjid beridentiti mesra-keluarga, ia perlulah mengadakan program-program berkaitan keluarga seperti:
· Acara keluarga yang masih belum menjadi jemaah kekal masjid
· Acara keluarga untuk jemaah kekal masjid
· Menyediakan ruang untuk aktiviti kanak-kanak
· Papan kenyataan/pengiklanan tentang kekeluargaan
· Alat bantu bagi keluarga berumur dan kurang upaya

Masjid juga digalakkan untuk memperkenalkan inisisatif yang kreatif untuk mempromosi masjid sebagai tempat mesra-keluarga. Dengan itu program-program seperti dibawah adalah sangat digalakkan:

· Pengajian Islam berasaskan keluarga
· Mengadakan standard perkidmatan mesra-keluarga kepada masyarakat
· Komitmen latihan kepada Khidmat Cemerlang
· Khidmat mengadakan program sunnah seperti tahnik, aqiqah, tahlil, pengurusan jenazah, walimah dan sebagainya
· Pusat sehenti bagi maklumat dan perkhidmatan kemasyarakatan
· Skim Keluarga Masjid
· Kemudahan bermalam di masjid
· Kawan rehat dan rawat
· Pengkalan data maklumat bagi pengurusan masjid

Kesimpulan

Di samping itu, jangan dibenarkan seseorang merasa terkilan apabila berada di masjid, sebaliknya biarlah yang pulang timbul rasa teringin kembali ke masjid semula. Sikap timbang rasa hendaklah sentiasa dipupuk di hati para jemaah. Sebagai contoh, mereka yang datang awal ke masjid hendaklah meletak kenderaannya dengan mengambil kira kenderaan yang datang terkemudian. Mereka yang datang lambat juga hendaklah memastikan kenderaannya tidak menghalang jemaah yang akan keluar masjid lebih awal. Semoga tidak berlaku mana-mana kenderaan menyekat dan mengganggu kelancaran perjalanan kenderaan lain.


posted by kembara-dakwah at 3:28 AM  
0 Comments:

Post a Comment

<< Home